Sunday, May 7, 2017

Salam Penulisan


Image from Pinterest
Blog ini juga sudah begitu lama saya tinggalkan. Bukan kerana sudah tidak suka ber-blog, tapi seolah-olah saya sudah mengenepikan keperluan untuk seorang ahli akademik untuk menulis. Tugas utama seorang ahli akademik adalah mengajar dan penulisan adalah salah satu elemen penting kerana ahli akademik itu tidak boleh mengehadkan ruang untuk tersebarnya ilmunya hanya pada organisasi atau universitinya sahaja. Inlah tanggungjawap yang saya sudah lama tinggalkan.

Mungkin ini punca kenapa saya tidak menyerlah sebagai ahli akademik walaupun ramai yang mengatakan yang saya mempunyai banyak bakat akademik terutama dalam penulisan dan pengaturcaraan.

Walau bagaimanapun, saya pernah menulis macam menggila. Itu adalah semasa saya berdebat dengan kaum bughah (pembangkang) dalam tahun-tahun awal 2000-an. Namun itu tidak sebenarnya membuahkan banyak hasil yang berharga yang boleh dibanggakan kerana penulisan tersebut tercerai-cerai dan tidak tersusun.

Yang boleh saya banggakan untuk penulisan pada ketika itu adalah saya melaksanakan tugas fardhu kifayah untuk berjuang mempertahankan ulil amri ketika itu, Tun Abdullah. Ketika saya dan kumpulan yang berdebat bersama-sama dengan saya ketika itu melaksanakan tugas kami, pada pilihanraya tahun 2004 Tun Abdullah menang bergaya. Kemudian berlaku perpecahan dalam kumpulan kami. Saya sendiri berhijrah ke USA sekejap untuk ijazah sarjana kedua. Di Malaysia pula, kumpulan kami berpecah kerana ramai yang sangat tidak berpuashati dengan pentadbiran Tun Abdullah ketika itu terutama sekali dengan menantunya Khairy Jamaluddin.

Ketika itu kami tidak menjalankan tugas fardhu kifayah kami, maka hasilnya Pilihanraya Umum Ke-12 2008, Tun Abdullah kalah teruk di banyak tempat walaupun masih berkuasa.

Pilihanraya Umum Ke-13 2013, saya masih lagi tidak menghiraukan tanggungjawap fardhu kifayah saya dan menyangka Datuk Seri Najib yang kelihatan lebih kuat daripada Tun Abdullah mampu mengembalikan kekuatan jemaah ulil amri. Akibatnya Datuk Seri Najib menerima hasil yang lebih buruk daripada Tun Abdullah walaupun masih tetap berkuasa juga.

Sekarang Pilihanraya Umum ke-14 sudah hampir. Datuk Seri Najib sendiri sudah meniup semboyan supaya semua hulubalangnya di alam nyata dan cyber memulakan serangan dan perjuangan. Saya di mana? Doakan kali ini usaha untuk menaikkan kerja-kerja penulisan akan berterusan.

✎✎✎✎✎✎✎✎✎