Monday, May 25, 2020

Cukup-cukuplah Memprovokasi Orang Bergaji

Kenapa masih ingin disakiti hati orang yang bernasib baik dapat hidup makan gaji?

Anda tahu anda adalah golongan bekerja sendiri yang mengharapkan sumber pendapatan dari transaksi yang tentunya datang dari golongan bergaji. Sudah tentu sumber pendapatan anda majoriti datangnya dari golongan bergaji kerana anda sendiri mengatakan golongan bekerja sendiri macam anda sudah tidak ada duit untuk membeli makanan keluarga. Jadi kenapa masih terlalu taqbur untuk terus menyakiti hati orang yang menjadi sumber rezeki anda?

Sementelah, ramai dari golongan bekerja sendiri adalah berijazah dan mampu untuk mencari kerja bergaji, tetapi mereka sendiri memilih untuk bekerja sendiri. Jadi semuanya pilihan anda sendiri, jadi kenapa masih berhasad dengki dengan orang bergaji? Sementelah lagi, ramai yang saya tengok dari golongan bekerja sendiri ini kereta mereka lebih besar dan lebih mahal daripada kereta saya yang hidup makan gaji. Lalu kenapa merungut pasal makanan anak-anak?

Tidak bolehkah dimaniskan mulut dan dijaga tulisan dan tutur kata untuk menyelamatkan rezeki?

Dalam isu jumlah kes baru COVID-19 yang tiba-tiba naik kepada 172 pada 1 Syawal ini, semua orang tahu ia bukan sebab sambutan Aidil Fitri kerana kalau wujud pun kluster Aidil Fitri, ia memerlukan seminggu selepas pengeraman untuk dilihat kesannya. Sedangkan Aidil Fitri baru sehari. Ia juga jelas bukan berpunca dari perlonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sudah lebih 14 hari dilaksanakan dan sudah melebihi tempoh pengeraman virus corona.

Pergaduhan, provokasi dan menyentap seperti ini sama sekali tidak perlu apalagi dalam suasana Aidil Fitri yang sudah suram.


≁≁≁ Kalau sayang rezeki, bersabar, ≁≁≁
∼∼∼ dan maniskan kata-kata ∼∼∼