Saturday, May 20, 2017

Fund Raising: Yang Tersurat dan Yang Tersirat

Suatu isu yang begitu panas sejak beberapa hari tentang Mufti Perlis Dr. MAZA sudah mula sejuk nampaknya. Pendekar-pendekar cyber UMNO dan hulubalang-hulubalang salafi madkhalis nampaknya sudah mengurangkan serangan setelah pihak Dr. MAZA mengambil pendekatan berdiam diri.

Untuk tidak menjadikan isu ini sejuk sebelum ada keputusan muktamad, izinkan saya mengimbau kembali isu asal dan memperjelaskan beberapa perkara yang sebenarnya bukan fokus tetapi dijadikan point oleh pihak defenden di sebelah sana untuk membela diri.

Isu asal adalah poster ini:


Poster fund raising Pertubuhan IQ ini menjadi bola tanggung kepada pihak-pihak yang menentang Dr. MAZA kerana merasakan Dr. MAZA dan kumpulannya banyak menyebarkan fitnah dan mengaibkan mereka dan pihak-pihak tertentu yang lain.

Poster yang mempromosikan jualan meja berharga puluhan ribu ringgit sempena berbuka puasa ini menjadi alat untuk musuh-musuh Dr. MAZA memulangkan paku buah keras kepadanya kerana dia sering menulis bahawa rakyat negara ini sedang sengsara akibat harga barang dan minyak yang tinggi, GST dan lain-lain. Dalam keadaan kononnya rakyat sedang sengsara, kenapa Dr. MAZA begitu bermewah-mewah meminta pembelian meja untuk berbuka puasa dengan harga puluhan ribu ringgit? Bukankah ini bermakna Dr. MAZA sendiri yakin bahawa rakyat negara ini mampu membelinya? Lalu kenapa ditebarkan kononnya rakyat negara ini sengsara?

Itu isu pertama: Isu apakah pendirian sebenar Dr. MAZA tentang tahap ekonomi rakyat negara ini – miskin atau kaya?

Isu asal kedua adalah kenapa lokasi majlis fund raising itu dibuat di PWTC yang dimiliki UMNO dan menempatkan ibu pejabat UMNO? Walhal Dr. MAZA dan kumpulannya begitu banyak menulis perkara-perkara negatif terhadap UMNO dan pemerintah terutamanya YAB Perdana Menteri? Kenapa selepas dicerca UMNO dan pimpinannya, tebal pula muka Dr. MAZA untuk mengadakan majlis di PWTC?

Dua isu ini mudah ditangani kalau di pihak Dr. MAZA menjawapnya secara objektif dan terus kepada point tanpa perlu berpusing-pusing untuk menimbulkan perkara-perkara lain yang tiada kaitan.
  1. Untuk isu harga meja yang melampau yang tidak menggambarkan pendirian Dr. MAZA tentang keadaan ekonomi rakyat marhein, Dr. MAZA boleh saja menjawap meja itu untuk golongan kaya yang mampu membayar. Dengan jawapan seperti ini Dr. MAZA perlu sedar bahawa dia akan kehilangan aura pejuang rakyat bawahan yang sering dilihat ada padanya.
  2. Untuk isu tempat pula mungkin Dr. MAZA boleh menjawap bahawa dia tidak memusuhi elemen-elemen milik pemerintah, tetapi dia cuma mengkritik sahaja sikap-sikap pemerintah yang suka membazir. Kalau ini jawapannya, maka Dr. MAZA juga perlu memperjelaskan kenapa PWTC bukan dikategorikan sebagai tempat bermewah-mewah yang membazir.
Dua jawapan lurus di atas juga nampak tidak selamat untuk Dr. MAZA. Mungkin itu sebabnya jawapan lurus tidak dipilih, tetapi jawapan yang bersimpang-siur yang tidak menjawap persoalan asal yang menjadi pilihan, yang akhirnya menjadikan isu ini berpanjangan.

Perkara Yang BUKAN Isu

Perkara pertama yang bukan isu asal yang dijadikan bahan untuk menjawap adalah meminta derma bukan satu kesalahan kata mereka. Saya rasa tiada sesiapapun yang mengatakan usaha Dr. MAZA dan pihak-pihak dalam IQ untuk mengutip dana untuk IQ adalah satu kesalahan. Cumanya ia tidak menjawap persoalan asal iaitu kalau rakyat negara ini miskin, siapa yang mahu beli meja-meja yang dijual?

Perkara kedua yang menjadi bahan jawapan adalah katanya dana itu untuk aktiviti IQ. Sekali lagi tidak menjawap isu asal. Ini lebih kepada percubaan untuk mengukuhkan jawapan pertama yang juga tidak menjawap soalan.

Risiko yang perlu dihadapi oleh pihak-pihak yang diajukan soalan tetapi tidak menjawap secara lurus dan tepat adalah pihak yang bertanya akan terus menembak dengan soalan-soalan baru untuk memperjelaskan maksud soalan asal dan jawapan yang perlu diberikan. Tembakan-tembakan seterusnya ini akan membawa kepada siasatan yang lebih lanjut dan mendalam dan membawa kepada pendedahan yang lebih berat.

Teori Konspirasi

Setelah hanya menjawap tentang kebaikan majlis mereka dan objektif dana yang dikutip tanpa menjawap persoalan asal, soalan pertama yang akan berpusing balik adalah persoalan tentang bukti kebaikan itu dan bukti penggunaan dana tersebut. Iaitu, mana audit untuk membuktikan bahawa dana itu dikutip mengikut prosedur dan dibelanjakan juga mengikut prosedur?

Soalan seterusnya selepas itu kemungkinan akan berbaur dengan fakta-fakta separa masak atau perkara hearsay yang mempunyai unsur fitnah kepada Dr. MAZA dan IQ. Ini sudahpun muncul. Ada beberapa netizen yang sudah mengedarkan poster kononnya dana IQ digunakan untuk berjalan-jalan di Amerika, yang memaksa MISG membantu membetulkan fakta. Ada juga netizen yang mula menularkan kononnya ada RM16 juta dalam akaun IQ. Suatu dakwaan yang agak tidak munasabah berdasarkan logik akal tentang jumlah aliran tunai keluar masuk ke dalam IQ.

Semua persoalan-persoalan boomerang yang bersifat fitnah ini timbul kerana pihak Dr. MAZA dan IQ gagal menangani persoalan asal dengan baik. Lebih memburukkan lagi, selepas gagal menjawap, IQ dan Dr. MAZA lebih berminat untuk berdoa laknat dan berdiam diri. Kemudian ada pula akaun-akaun Facebook yang didakwa telah diminta tutup, dan juga cerita-cerita tentang saman-menyaman.

Kesimpulan

Untuk meleraikan kekusutan, saya mencadangkan dua perkara untuk difikirkan oleh IQ dan Dr. MAZA.

Pertama, terimalah sahaja hakikat bahawa rakyat negara ini tidak hidup tertekan. Itulah hakikat yang tergambar kalau fund raising ini dilaksanakan dengan bayaran puluhan ribu ringgit. Apa ruginya kalau Dr. MAZA menerima hakikat ini? Bukankah sumber rezeki kepada IQ akan lebih murah kalau hakikat ini disyukuri?

Kedua, janganlah dimusuhi ulil amri yang menjaga urusan negara dan jemaahnya. Dr. MAZA dan IQ begitu jelas perlu merendahkan diri untuk mendapatkan peluang mengadakan majlis berkenaan di PWTC. Kalau sudah merendahkan diri sebegitu, kenapa pada ketika-ketika lain ulil amri dicerca pula? Bukankah kita dilarang daripada memisahkan diri dari ulil amri dan jemaahnya walaupun sejangkal dengan amaran mati jahiliyyah?


<<«« AGAMAWAN, »»>>
<<«« CAKAPLAH SERUPA BIKIN »»>>


No comments:

Post a Comment